Kira-kira 30 penyokong perhimpunan BERSIH 3.0 di Melaka
berhimpun di Dataran Pahlawan Mall hari ini sebagai tanda sokongan perhimpunan
yang akan diadakan di Dataran Merdeka pada 28 April ini.
Perhimpunan yang dianggap sebagai Pra-Bersih 3.0 itu bertujuan untuk
menggalakkan orang ramai untuk menghadiri perhimpunan "duduk bantah"
yang dirancang di Kuala Lumpur minggu depan.
Menurut wakil kumpulan terbabit Philip Chua, perhimpunan itu diadakan juga bagi
memberitahu orang ramai di Melaka yang tidak dapat bertolak ke Kuala Lumpur 28
April ini supaya dapat menyertainya di Dataran Pahlawan Mall sahaja.
Philip berkata, Dataran Pahlawan Mall dipilih kerana dibina di atas tapak
padang Banda Hilir yang menjadi tempat bersejarah apabila Tuanku Abdul Rahman
mengumumkan tarikh kemerdekaan sebaik pulang dari London.
"Oleh sebab itu, orang-orang di Melaka sekali lagi akan berkumpul pada
tarikh tersebut bagi menuntut pilihan raya bebas dan adil.
"Penyokong dijemput memakai apa jenis pakaian berwarna kuning dan baju T
Bersih 3.0 yang tidak diharamkan tahun ini amat dialu-alukan.
"Orang ramai boleh memakai topi atau topi kuning, membawa payung kuning
atau memakai baju hujan kuning dengan tujuan membanjiri padang dengan suasana
kuning," katanya.
Selain itu, mereka turut mengedarkan risalah mengenai perhimpunan BERSIH 3.0
kepada orang ramai dan melekatkannya pada cermin kereta.
Turut hadir, ADUN kawasan Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong.
Pada 28 April ini, perhimpunan menuntut pilihan raya bebas dan adil akan
dilangsungkan serentak di bandar besar di seluruh negara dan di seluruh dunia.
No comments:
Post a Comment